SEBUT sahaja wang lama, mungkin ada segelintir masyarakat berpendapat ia tidak bernilai langsung, tetapi bagi yang obses dengan syiling dan wang kertas lama mahupun surat pajak gadai tentunya mempunyai tanggapan berbeza.
Minat mendalam terhadap koleksi syiling lama seperti dari zaman Kesultanan Melayu Melaka mahupun Kesultanan Aceh atau bermulanya kemerdekaan negara juga membuatkan golongan ini leka mengumpulnya sehingga mencecah ratusan koleksi.
Paling tidak masuk akal, ada daripada peminat mata wang lama ini sanggup menghabiskan ribuan ringgit, malah mencecah sehingga jutaan ringgit semata-mata mahu mendapatkan koleksi yang disukai meskipun ada yang memandang sinis terhadap hobi mereka ini.
Sehingga kini, pengumpul koleksi matawang lama masih ada dan dilihat kian bertambah bilangan mereka berikutan hobi ini dikatakan memberi kepuasan.
Salah seorang daripada mereka, seorang usahawan yang mempunyai minat mendalam dan giat mengumpul duit lama dari seluruh dunia, Datuk Sharuddin Yusof, 51.
Kegilaan ini dapat dilihat apabila nilai keseluruhan koleksi matawang lama dari pelbagai negara yang dikumpul olehnya dan dikenali sebagai ‘Sha Banknote’ ini mencecah lebih RM500,000.
Koleksi matawang lama milik Sharuddin ini ialah dari not Malaysia 1967 hingga 2011 yang kini bernilai RM100,656, syiling Malaysia (RM24,030), Banknote Strait Settlement (RM84,000), matawang Very Rare (RM154,611), matawang Error RM22,000 dan matawang luar negara bernilai RM15,000.
Anak kelahiran Kampung Bukit Nikmat, Jerantut ini mula menyimpan duit syiling dan wang kertas lama pada 1973.
Menurutnya, minat itu bercambah berikutan bapanya buka kedai runcit dan berurus niaga getah dengan orang kampung.
Dari situ katanya, jika ada duit syiling atau wang kertas yang baharu dan menarik minatnya akan disimpan di tempat khas.
“Pada masa sama, saya juga ada simpan duit zaman pemerintahan Inggeris dan Jepun iaitu sekitar tahun 1950-an.
“Hobi unik ini datang dengan sendiri dan sangat menguntungkan, malah ia memberi kepuasan kepada saya yang sanggup simpan duit lama,” katanya.
Tambahnya, nilai duit lama mempunyai harga lebih tinggi daripada nilai yang tertulis pada mata wang itu dan ia boleh dikenal pasti menerusi buku rujukan wang.
“Ini boleh dijadikan rujukan semasa membeli ataupun menjual duit lama. Contohnya, duit UNC dan Rare berwarna emas, harganya boleh mencecah sehingga RM500,” katanya.

Punya pelbagai koleksi
Ceritanya lagi, matawang lama dalam koleksinya ialah wang Straits Settlements tahun 1931-1935 yang bernilai antara RM250 sehingga RM12,000.
Sebagai contoh katanya, wang kertas Ten Dollars Straits Settlements yang dikeluarkan 1935 bernilai RM5,800 sekeping dan nilai tertinggi ialah wang Fifty Dollars Queen Malaya British 1953 bernilai RM12,000 sekeping.
Sharuddin memberitahu, matawang Five Dollars Straits Settlements 1935 siri Rex Curral bernilai RM5,500 sekeping, manakala Ten Cents Sarawak 1940 siri CV Brooke bernilai RM1,500.
“Jenis matawang Ten Dollars King Malaya British tahun 1940 siri H Weisberg pula bernilai RM6,000 dan 50 Dollars King Malaya British bernilai RM8,000,” ujarnya.
Beliau memberitahu, koleksi kesayangan lain ialah duit Proof RM1 yang ditandatangani Gabenor Bank Negara kedua, Tun Ismail Mohamed Ali keluaran 1976 siri tiga bernilai RM8,000, manakala duit contoh RM1 tandatangan Gabenor Bank Negara ketujuh, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz tahun 2000 siri 11 bernilai RM8,800.
“Duit contoh atau spesimen RM5 tandatangan Gabenor Bank Negara keempat, Tan Sri Jaffar Hussein siri lapan bernilai RM9,800 di pasaran yang mendapat permintaan tinggi peminat matawang lama,” katanya.
Sharuddin mengakui antara koleksi kesayangannya ialah Pohon Pitih Terengganu zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah bernilai RM15,000.
Menurutnya, ramai yang tidak peka bahawa duit 10 sen keluaran 1971 kini bernilai RM500 sekeping.
Katanya, koleksi lain ialah wang RM2 Gabenor Bank Negara keenam, Tan Sri Ali Abul Hassan.
RM2,500, RM1 Ismail bernilai RM2,650 dan RM5 keluaran tahun 1995 bernilai RM3,456.
“Banyak lagi koleksi mata wang lama dalam simpanan saya dan ia akan dipamerkan secara terhad kepada penggemar bagi tujuan berkongsi minat, jualan dan belian,” katanya.
Sharuddin berkata, hobi mengumpul koleksi matawang ini tidak dikongsi ramai, tetapi usaha menyuburkan minat seperti itu perlu dilakukan.
Katanya, hobi menyimpan duit lama ini sangat baik kerana dalam jangka panjang ia akan bernilai lebih tinggi lagi berdasarkan keistimewaan duit berkenaan.

Beli melalui internet
Menurutnya, beliau tidak kisah membelanjakan wang yang banyak demi minat itu.
“Matawang dari zaman Kesultanan Melayu Melaka mahupun Kesultanan Aceh membuatkan golongan ini leka mengumpul beratus koleksi disukai dan ia ada dalam koleksi saya.
“Saya juga simpan koleksi matawang lama unik berbentuk binatang seperti buaya yang jarangjarang ditemui,” katanya
Beliau berkata, mata wang lama yang sudah buruk dan terjejas bentuknya masih bernilai tinggi apabila ia dijadikan hiasan seperti lukisan.
Sharuddin berkata, kebanyakan koleksi diperoleh menerusi pencarian dan pembelian melalui internet.
“Dulu saya cari pelbagai koleksi mata wang unik ini di pasaran Thailand, Singapura, Indonesia dan Australia sebab mereka banyak simpan matawang Kesultanan Melayu.
“Bila mereka bida untuk menjual, kita boleh belinya dan bagi saya ia berbaloi kalau dibeli sebab setiap matawang lama dan unik ada nilai yang sangat tinggi,” katanya.

Sasar ahli kelab bertambah
Beliau yang juga Presiden Kelab Numismatik Malaysia berkata, kegiatan mengumpul matawang lama seperti token, syiling mahupun wang lama (numismatik) dalam kalangan penduduk semakin meningkat kebelakangan ini.
Menurutnya, penambahan peminat matawang lama ini didorong oleh aktiviti seperti pameran, lelongan dan mengumpul kerana kebanyakan mereka mula menyedari kepentingan warisan negara ini untuk generasi masa depan.
“Setakat ini, bilangan ahli tidak rasmi Numismatik Malaysia sudah mencapai 52,826 orang sehingga 2013 sahaja, malah dijangkakan bertambah sebanyak lima peratus lagi menjadikannya 55,467 ahli tahun depan.
“Persatuan Numismatik Malaysia, Persatuan Numismatik Kesultanan Melayu Malaysia (Masdinar) dan Kelab Warisan
Malaysia adalah antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mengembangkan bidang ini,” katanya.
Sharuddin berkata, sebanyak 26 kelab di laman sosial facebook seperti Kemaruk Duit Lama, Kedai Hantu Duit-duit, Malaysia Error & Variety, Lot Gila Duit, Wang Nombor Cantik, Kedai Duit Error, Mata wang Kesultanan Johor dan Kelab Pengumpul Duit Lama Antik & Rare sudah diwujudkan.
“Kegiatan kumpul syiling lama tak kira sama ada kumpulan mata wang kesultanan Melayu Nusantara mahupun matawang lain tidak akan membazir, malah dilihat sebagai mampu jadi sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Dapat pengiktirafan
Sharuddin memberitahu, kelab yang dikelolakan beliau itu pernah mengadakan pameran matawang di Muzium Kelantan tahun lalu.
Pameran itu katanya, diadakan bersama Perbadanan Muzium Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan.
“Pameran ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu matawang Kesultanan Melayu, matawang era sebelum merdeka,
"Matawang selepas merdeka dan matawang antarabangsa,” katanya.
Dalam pameran itu jelasnya, sebanyak 2,000 item melibatkan empat kategori berkenaan dipamerkan yang sebahagian besarnya adalah koleksi peribadinya sendiri.
“Saya terkejut apabila koleksi saya ini telah dimasukkan dalam Malaysia Book of Record sebagai pameran terbesar yang pernah diadakan di negara ini.
“Tentunya saya gembira sebab segala usaha kelab yang saya kelolakan ini mendapat pengiktirafan,” katanya.
Beliau turut bercadang mengadakan pameran seumpama itu pada masa akan datang dan mengalu-alukan jika ada pihak tertentu hendak menghulurkan kerjasama.

Kerjasama dengan UMP
Dalam pada itu, beliau rasa bertuah kerana Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi institut pengajian tinggi awam (IPTA) pertama menawarkan pengajian di peringkat sijil dalam bidang Numismatik iaitu Certificate in Profesional Numismatic Malaysia kepada semua masyarakat di negeri itu.
Kursus berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh UMP untuk peringkat sijil dan pihaknya turut berusaha supaya menawarkan diploma.
“Kita merancang ke arah itu memandangkan permintaan terhadap kursus ini sangat tinggi.
Bila ada permintaan dan tawaran daripada UMP, kita bersedia memberi kerjasama,” katanya.
Beliau yakin program itu akan melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai dalam bidang berkaitan kajian matawang ini.



rss:http://www.sinarharian.com.my/rencana/wang-lama-bernilai-tinggi-1.450699